Ikan bilis mata biru mendapat gelaran demikian kerana memiliki mata berwarna biru. Menurut sesetengah orang tua di Sabah, ikan bilis ini bermata biru kerana ia tinggal di lautan biru yang dalam. Allahu'alam.
Ikan bilis mata biru bersaiz kecil, tiada tulang dan perut. Ia menjadi pilihan ramai kerana ia kurang masin, sangat rangup dan tidak liat apabila digoreng dan sesuai untuk dicampur dalam bubur, dibuat sambal nasi lemak atau masak dengan petai. Ikan bilis ini juga tahan disimpan di dalam peti sejuk selama lebih sebulan tanpa mengurangkan kualitinya.
Ikan bilis mata biru boleh diperoleh dalam tiga gred iaitu gred A, gred B dan gred C. Gred A adalah yang paling mahal namun harganya bergantung kepada musim. Di Sabah, pengeluaran ikan bilis mata biru ini bermusim iaitu tiga kali dalam setahun.
Tawau merupakan pembekal atau pengeluar ikan bilis mata biru utama di Malaysia dengan kualiti gred yang terbaik. Ini kerana persekitaran laut Tawau yang tidak tercemar dan bersih yang menjadi faktor utama ikan bilis membiak dan hidup dengan subur.